Halaman

22 September 2012

Kraftangan sasar jualan promosi kraf RM200 ribu

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu mensasarkan kutipan RM200,000 menerusi jualan pelbagai produk kraf dari seluruh Malaysia sempena Promosi Kraf Malaysia di Pasar Raya Mesra Mall, Kerteh, yang akan berlangsung pada 27 September hingga 1 Oktober ini.

Sebanyak 20 pengusaha kraf khususnya produk warisan tempatan dari Terengganu seperti tembaga, batik, songket dan anyaman akan dihimpunkan di bawah satu bumbung dalam acara yang turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu itu.

Pengarahnya, Encik Khairul Hafizi Nahauruddin, berkata jika sasaran jualan itu dapat dicapai, pihaknya akan mengadakan lagi program yang sama selepas ini dalam usaha meningkatkan imej dan jualan produk kraf di negeri ini.

“Seramai 20 pengusaha akan berhimpun di pasar raya itu termasuk dari Sabah serta Sarawak. Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan kraf pilihan mereka yang ditawarkan dengan harga yang istimewa bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Program dijangka akan dirasmikan pada 29 September (Sabtu) oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said“ katanya.


Selain itu, Encik Khairul berkata , Perbadanan Kraftangan berusaha meningkatkan mutu dan kualiti produk kraf supaya mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran, seterusnya mampu menyumbang dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam tempoh lima tahun lagi.