Halaman

30 September 2012

Lebih 30,000 pelajar khatam al-Quran tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 30,000 pelajar sekolah rendah dan tabika di seluruh negeri Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun ini.

Bagi tujuan tersebut, dua majlis khatam al-Quran secara berasingan akan diadakan pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Majlis Khatam al-Quran Kelas Kafa 2012 akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, pada 20 Oktober.


“Seramai 22,000 pelajar Kafa akan menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan secara serentak di tujuh lokasi, termasuk Stadium Tertutup Gong Badak,” katanya kepada Teganukita, kelmarin.

Beliau berkata, seramai 6,500 pelajar kelas Kafa di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan menghadiri majlis khatam al-Quran di stadium berkenaan manakala selebihnya akan berada di enam lokasi seluruh negeri yang telah ditetapkan Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Majlis khatam al-Quran bagi pelajar kelas Kafa akan dilakukan secara serentak melibatkan 22,000 pelajar. Manakala Majlis Khatam al-Quran bagi Program Pintar al-Quran yang melibatkan kanak-kanak kelas tabika akan diadakan di stadium yang sama pada 23 Oktober.

“Bagi majlis yang kedua, serama 9,639 kanak-kanak tabika akan turut serta di mana beberapa acara lain turut diatur bagi menjayakan majlis,” katanya.

Kedua-dua program berkenaan akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan turut dihadiri ibu bapa pelajar terlibat.