Halaman

25 September 2012

Kuasa sukan, dorong Dato’ Wan Hisham terpilih

  Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Dato' Wan Hisham
Kejayaan Terengganu muncul sebagai kuasa sukan negara serta pelbagai kejayaan yang diraih di bidang itu menjadi antara faktor utama wakil negeri ini dipilih sebagai pegawai tinggi Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), kelmarin.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam Negeri Dato’ Wan Hisham Wan Salleh menang dengan majoriti selesa merampas jawatan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) di tangan penyandangnya, Datuk Karim Ibrahim pada pemilihan pucuk kepimpinan baru badan induk olahraga negara bagi penggal 2013-2015.

Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) itu memperolehi 25 undi, sementara Datuk Karim memperoleh 19 undi pada pemilihan yang diadakan bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-10 di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, kelmarin (23 September).

 Timbalan Presiden KOAM, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, mengakui beliau mendapat sokongan daripada pegawai-pegawai sukan dari negeri lain kerana kedudukan Terengganu sebagai kuasa sukan negara serta kemajuan mendadak yang dicapai negeri ini sejak kebelakangan ini.

 “Kejayaan paling membanggakan apabila Terengganu mengekalkan kejuaraan Sukma buat kali keempat berturut-turut pada temasya ke-15 bulan lalu, di Kuantan, Pahang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

 Beliau berazam akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu sebaik mungkin dengan mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabagsa, sekaligus mampu mengharumkan nama Malaysia.