Halaman

03 September 2012

Klinik 1Malaysia Kubang Parit beri manfaat kepada 32,000 penduduk sekitar

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kira-kira 32,000 penduduk Kuala Terengganu khususnya yang tinggal di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam kini tidak lagi perlu bersesak di hospital dan klinik kesihatan berdekatan berikutan Klinik 1Malaysia (K1M) KP Perdana, Kubang Parit, mula beroperasi secara rasmi hari ini.
Dr A Rahman memotong kek gimik perasmian Klinik 1Malaysia di KP Perdana, Kubang Parit, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata cetusan idea mewujudkan kemudahan perubatan itu diadaptasi daripada konsep 1Malaysia bagi menyediakan rawatan perubatan ringan kepada masyarakat bandar yang tinggi kepadatan penduduknya.

K1M KP Perdana adalah yang ketujuh di Terengganu dan ketiga di Kuala Terengganu selepas K1M Wakaf Baru dan K1M Taman Adis Indah.

Selain itu, K1M turut beroperasi di Bukit Payong, Marang; Binjai, Kemaman; Kampong Nyior 7, Jertih dan Batu 6, Dungun.

“Ini merupakan janji kerajaan Barisan Nasional dan Umno yang mahu memberikan kemudahan rawatan kepada seluruh rakyat terutama yang tinggal di kawasan bandar supaya mereka tidak bersesak menunggu masa yang lama untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan berhampiran bagi mengubati penyakit yang ringan.

“Jadi, klinik ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam (termasuk hari cuti umum dan cuti minggu) yang dikendalikan oleh dua syif kakitangan diketuai penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu farmasi dan atendan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan K1M KP Perdana, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman; Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Penyelaras DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Dr A Rahman berkata, pemimpin dan masyarakat tempatan perlu memanfaatkan kemudahan dari klinik yang hanya mengenakan caj RM1 sahaja ini, selain mengecualikan bayaran kepada kakitangan kerajaan, pelajar sekolah serta Institusi Pengajian tinggi dan kanak-kanak setahun ke bawah.

Beliau juga yakin tempoh masa menunggu mendapatkan rawatan di K1M tidak mengambil masa panjang, selain mampu merawat 60 sehingga 100 pesakit sehari.

“Jika boleh kita tidak mahu waktu menunggu melebihi 30 minit sehingga selesai urusan rawatan dan mengambil ubat di setiap Klinik 1Malaysia berkenaan kecuali kes-kes tertentu yang memerlukan masa lebih panjang seperti mencuci luka.

“K1M juga akan mengaturkan tempat rujukan sekiranya pesakit perlu dibawa ke pusat rawatan dan hospital untuk tindakan susulan,” katanya.