Halaman

18 September 2012

Kesenian khat kian mendapat tempat peminat karya Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Sambutan memberangsangkan daripada peserta Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012, di Taman Tamadun Islam, sepanjang empat hari sejak 14 September lalu membuktikan kesenian khat kian mendapat tempat di kalangan peminat karya Islam itu.


Dato’ Zubir Embong menyampaikan ucapan penutup Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012

Penyertaan peserta dalam bengkel melibatkan 500 orang, seminar 450 orang selain pembabitan 17 negara seperti Jepun, China, India, Singapura, Brunei, Indonesia dan tuan rumah, Malaysia yang melibatkan 475 orang.


Sebahagian peserta yang menghadiri Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pengurusan TIIAF, Dato’ Zubir Embong, berkata daripada keseluruhan 475 peserta, 82 daripada mereka merupakan peserta antarabangsa yang mencuba nasib mempertaruhkan kreativiti seni khat bagi kategori Siap Asia Thuluth.



“Usaha penganjur bagi memperkasakan tulisan jawi dan kesenian Islam menerusi TIIAF buat kali kedua berturut-turut ini semakin menampakkan hasil apabila kerajaan negeri bersetuju membina sebuah Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang berharga RM20 juta (di TTI) yang pertama seumpamanya di Rantau Asia di mana pembinaan dijangka bermula awal tahun depan.

“Dengan adanya institute itu kelak akan lebih menaikkan martabat tulisan jawi bukan sahaja di kalangan umat Islam, malah kepada bukan Islam yang meminati kesenian itu” katanya ketika berucap di Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah TIIAF 2012, semalam (17 September).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Bagi kategori kebangsaan, Siap Logam dimenangi Syed Ubaidillah Syed Mohamad; kedua, A Wahab Mohd dan ketiga Syed Mohd Shafie Tuan Sidi.

Manakala Siap Kayu pula johan menjadi milik Mohd Yazid Misdi, diikuti tempat kedua Ahmad Rajaei Awang dan ketiga Ahmad Ali Mahfuz Osman.

Masing-masing membawa pulang RM5,000 (johan), RM4,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga), sementara 10 hadiah saguhati bernilai RM500 seorang.

Bagi Siap Kanvas, tempat pertama dimenangi Nik Abd Rahman Zaki Nik Abdul Kadir; kedua, Mohd fadil Sulaiman dan ketiga Zamri Amid. Masing-masing membawa pulang RM4,000 (pertama), RM3,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga) selain RM500 seorang kepada 10 pemenang saguhati.



Spontan Terbuka turut dimenangi Nik Abd Rahman Zaki Nik Abdul Kadir (RM2,500), kedua Mohd Zulfikri Mohd sabri (RM2,000) dan ketiga Mohd Hafizuddin Mohd Rasid (RM1,500).
Kategori Spontan Sekolah Menengah pula dimenangi Mohd Nazmi Mohd Rasid (RM700), tempat kedua Mohd Yazid Samsudin (500) dan ketiga, Mohd Afifuddin Sabri (RM300).

Tempat pertama dan ketiga Spontan Sekolah Rendah diungguli anak kepada Nik Abd Rahman, iaitu Nik Muhsinah (RM400) dan Nik Maghfirah (RM200). Sementara tempat kedua milik Zu Nurain Muhzalulahfah (RM300).