Halaman

11 September 2012

Jadilah warganegara yang baik, biar mati tinggal nama

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Rakyat negeri ini perlu menyemai prinsip nilai patriotisme yang tinggi kerana ia selaras dengan tuntutan agama Islam sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ‘cintakan tanah air sebahagian dari iman’.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong(Gambar), berkata sejak kebelakangan ini asas atau prinsip-prinsip Rukunegara yang sepatutnya menjadi amalan setiap warganegara, semakin longgar di kalangan masyarakat tempatan.

“Masalah ini berlaku disebabkan mereka meletakkan politik mengatasi segala-gala, hingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip Rukunegara yang diperkenalkan sejak lebih setengah abad yang lalu,” katanya dalam satu temubual khas dengan Teganukita sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-55, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebenarnya setengah abad itu bukan satu tempoh yang terlalu lama dan nilai-nilai serta prinsip Rukunegara itu sepatutnya terus didokong dan menjadi pegangan setiap warganegara.

“Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang cepat atau mudah lupa...Jika kita perhatikan kini terdapat perbuatan buruk sesetengah daripada masyarakat kita yang cuba mereka-reka cerita bukan-bukan dan memburuk-burukkan pimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan sindrom ketakutan di kalangan masyarakat asing dan luar negara hingga mengugat kestabilan politik dan ekonomi negara yang kita cintai ini.

“Pada kesempatan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ini, marilah kita mengekalkan nilai-nilai murni dan nilai-nilai timur berteraskan ajaran Islam yang menjadi pegangan pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair,” katanya.

Haji Shamsuddin berkata, jika perkara ini dilakukan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, ia akan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan keselamatan negara tidak terjejas.

Beliau mengajak semua pihak supaya mempertahankan kemerdekaan yang kita miliki sekarang ini dengan nilai-nilai luhur dan murni agar tidak sampai nanti “ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’.

“Pada masa yang sama setiap warganegara kita perlu mengekalkan jati diti supaya kita menjadi insan yang disanjung, bak kata pepatah ‘ mati gajah meninggalkan tulang, mati harimau meninggalkan belang, mati manusia meninggalkan nama’ supaya negara kita merdeka sampai bila-bila,” katanya.