Halaman

06 September 2012

Hanya BN tunai janji – PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Barisan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sentiasa menunaikan janji kepada rakyat.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyelar sikap sesetengah pihak yang mempertikaikan tema sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-55 tahun ini iaitu “Janji Ditepati”.

Beliau tidak faham kenapa pihak berkenaan mempertikaikan tema tersebut sedangkan menepati janji memang amat dituntut dalam ajaran Islam.

Puluhan ribu penduduk dari daerah Setiu dan Besut berhimpun di Kampung Tok Lebai, Jabi, Setiu bagi menyambut pemimpin kesayangan mereka, Dato' Seri Mohd Najib.

“Dalam sembahyang kita berjanji untuk menyerahkan hidup dan mati kita kepada Allah. Bila kita berjanji kepada Allah kita wajib menunaikannya…begitu juga bila kita berjanji kepada manusia, kita mesti menunaikannya,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri di Kampung Tok Lebai, Jabi, Setiu, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan setakat ini hanya Barisan Nasional (BN) sentiasa menunaikan janji mereka kepada rakyat, sedangkan perkara itu tidak berlaku di kalangan pemimpin parti pembangkang.

Perdana Menteri menyampaikan `hadiah'  hari raya kepada warga emas.

Beliau berkata, sejarah membuktikan bahawa pemimpin pembangkang hanya pandai berjanji tetapi mereka tidak menunaikannya.

Sebagai bukti, katanya, pembangkang berjanji untuk melakukan banyak perkara di Selangor setelah mereka menang dalam pilihan raya itu seperti pemberian air percuma, bantuan kepada ibu tunggal dan sebagainya, tetapi ia tidak ditunaikan.

“Masihkah Kau Ingat apa yang berlaku di Terengganu ada tahun 1999 (semasa Pas memerintah negeri ini}?” soal beliau sambil disahut ‘ingat’ dengan laungan yang kuat oleh hadirin majlis itu.

Perdana Menteri berharap rakyat negeri ini mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyokong kerajaan negeri semasa agar kesinambungan pembangunan dapat dilaksanakan selepas pilihan raya umum nanti.