Halaman

17 September 2012

Belia Marang sertai bengkel pemantapan

Oleh: Aida Abd Rahman
Seramai 120 pemimpin persatuan dan badan gabungan belia Marang akan mengikuti bengkel pemantapan dan kepimpinan dalam usaha memantapkan pertubuhan yang dipimpin belia berusia kurang 30 tahun di daerah itu.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Encik Zaidi Muda, berkata bengkel selama tiga hari dua malam di sebuah pusat peranginan di Marang pada awal November ini bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemimpin baru supaya lebih matang sekali gus berupaya memimpin persatuan dengan jayanya.

“Setiap persatuan diwakili pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha terpilih menyertai bengkel yang menjadi platform penting memastikan hala tuju persatuan dapat dicapai.

“Mereka kebanyakannya di kalangan generasi pemimpin baru berusia 20-an yang kurang pengalaman tetapi mempunyai bakat kempimpinan yang boleh diasah dengan baik bagi menerajui persatuan,” katanya kepada Teganukita, di majlis sambutan Merdeka Raya Majlis Belia Daerah Marang dan Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Terengganu, di Dewan Sivik Bukit Payong, semalam (17 september).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad; Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang, Senator To’ Puan Zaitun Mat Amin; Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Pengerusi MAYC Negeri Terengganu, Encik Amirullah Othman.

Sehingga kini, terdapat 40 persatuan belia dan badan-badan gabungan belia yang aktif di Marang, sementara 20 MAYC serta 17 Gerakan Belia 4B sedang menunggu kelulusan pendaftaran dengan pejabat pendaftar pertubuhan belia sebelum beroperasi secara sah selewat-lewatnya awal 2013.

Encik Zaidi yang juga Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, berkata pihaknya akan mengatur pelbagai aktiviti bagi memastikan persatuan dan badan gabungan belia dapat bergerak aktif di peringkat daerah serta negeri, selain mereka mengadakan aktiviti dengan komuniti di kawasan masing-masing menggunakan saluran yang betul.

“Kita tidak mahu melihat kuantiti pertubuhan dan persatuan belia semata-mata. Kalau jumlah banyak tidak guna juga, jika mereka gagal aktif dan memanfaatkan peluang serta menganjurkan aktiviti untuk manfaat ahli serta komuniti setempat.

“Menerusi pertubuhan yang sah, kita harap kewujudan persatuan belia dapat memberi impak kepada pembangunan sahsiah dan ekonomi di kalangan generasi muda seterusnya memajukan lagi kawasan setempat, negeri dan juga negara amnya,” katanya.