Halaman

29 September 2012

Bajet utamakan rakyat, sejajar keupayaan negara:MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengutamakan kebajikan dan meringankan beban rakyat sejajar dengan keupayaan ekonomi negara, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Bajet 2013 yang dibentangkan Dato’ Seri Mohd Najib sambil menyifatkan ia merupakan satu pembentangan yang menepati konsep `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Katanya, pelbagai bantuan diberikan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan sahaja diteruskan, malahan diperluaskan lagi kepada mereka yang belum berkahwin (bujang) turut menikmatinya.

“ Ini bersamaan dengan apa yang dilakukan oleh Terengganu yang mana kita berikan bantuan Dana Hari Raya kepada umur 21 tahun ke atas dan mereka yang belum berkahwin serta sebagainya.

“Selain itu, ia merupakan satu usaha untuk meringankan beban rakyat . Walaupun kerajaan hendak bantu rakyat, tetapi kalau kerajaan tidak mempunyai wang, tidak mempunyai pendapatan tinggi tidak boleh buat juga,” katanya.

Beliau berkata, keputusan dan dasar Kerajaan Pusat ini dilaksanakan berkat pembangunan yang dicapai dari aspek pentadbiran, pengurusan kewangan yang baik, hasil negara yang sentiasa meningkat sepanjang masa serta kestabilan politik.

Pada masa yang sama, katanya `track record’ dan pencapaian semasa kerajaan hari ini juga sewajarnya membuka mata semua rakyat bagi meneruskan sokongan dengan memilih Barisan Nasional untuk memastikan kestabilan politik pada masa akan datang.