Halaman

24 September 2012

Ahli Parlimen Besut meraikan 150 bakal haji dari daerah Besut



Oleh: Mohammad Ishak

Bakal haji negeri ini sekali lagi dingatkan tidak menyertai mana-mana perhimpunan anjuran pihak tidak dikenali ketika berada di tanah suci kerana ia boleh menjejaskan ibadah haji.

Penasihat Agama Perdana Menteri,Dato’Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, rakyat negara ini yang menyertai haji perlu menjaga tata susila dan displin diri sepanjang mengerjakan ibadah berkenaan di Makah dan Madinah.

Katanya, jemaah haji juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi selain mengikuti perkembangan semasa mengenai pergerakan jemaah daripada agensi bertanggungjawab terutama Tabung Haji.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, rakyat negara ini sentiasa menunjukkan sikap baik pada setiap tahun ketika mengerjakan haji dan mendapat pujian kerajaan Arab.

“Oleh itu jemaah perlu mengekalkan rekod berkenaan supaya hubungan dua hala antara kedua kerajaan dapat membantu meningkatkan lagi khidmat haji di tanah suci,” katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan bakal haji daerah Besut di kediamannya di Kampung Alur Lintang, Besut.

Seramai 150 bakal haji dari daerah Besut yang berjaya mengerjakan ibadah berkenaan berlepas ke tanah suci secara berperingkat-peringkat.

Majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Besut bertujuan meraikan pemergian mereka ke tanah suci selain dibekalkan cederamata kepada mereka.

Dr Abdullah berkata, jemaah haji negara ini sepatutnya bangga kerana disebabkan hubungan baik antara kerajaan sedia ada membolehkan ramai rakyat dapat mengerjakan ibadah berkenaan pada setiap tahun.