Halaman

06 September 2012

1,061 unit rumah untuk penduduk Hulu Terengganu


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri menyediakan 1,061 unit rumah kos rendah dan rumah mampu milik di kawasan Parlimen Hulu Terengganu dalam tempoh empat tahun lalu, bagi menyediakan kediaman lebih selesa kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata empat projek perumahan bernilai kira-kira RM98.5 juta dilaksanakan dalam tempoh berkenaan dan kesemua projek tersebut kini siap sepenuhnya.

Beliau berkata, semua keluarga yang terpilih bagi membeli rumah-rumah berkenaan kini menunggu masa untuk mendudukinya.

“Kerajaan akan melaksanakan dua projek perumahan lagi sebelum pilihan raya akan datang, iaitu 300 unit rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan 300 unit di DUN Kuala Berang,” katanya ketika berucap pada Majlis Raya Perdana Daerah Hulu Terengganu di Padang Astaka, Kuala Berang, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Yang Dipertua Dewan Udangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan saf kepimpinan negeri.

Sebelum itu, Menteri Besar mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Pejabat Daerah Hulu Terengganu.

Beliau berkata, sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat untuk memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13), 600 unit rumah lagi akan dibina di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.

“Saya harap penduduk di kawasan Parlimen ini memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada caln-calon BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan Hulu Terengganu, termasuk memajukan Tasik Kenyir bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, pada masa yang sama beliau berharap pembangunan Tasik Kenyir akan menyediakan lebih banyak peluang pernigaan kepada penduduk kawasan itu dan memajukannya dari semasa ke semasa.