Halaman

23 September 2012

10,000 anggota Rela dapat elaun RM1,200 sebulan


Ketua Pengarah Rela Datuk Mustafa Ibrahim menyampaikan hamper kepada seorang peneroka

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 10,000 anggota Rela yang sebelum ini tidak mempunyai pekerjaan tetap kini menikmati pendapatan lebih baik apabila kerajaan memberi peluang mereka menyertai tugas rondaan bersama pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penyertaan anggota Rela dalam rondaan bersama itu memberi peluang mereka memperolehi elaun bulanan antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan dengan menyertai tugas meronda.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, jika sebelum ini anggota Rela hanya mendapat bayaran antara RM10 dan RM20 ketika diminta menjalankan tugas di majlis perkahwinan dan program anjuran jabatan lain tetapi kini kehidupan mereka sudah berubah.

Katanya, tranformasi terhadap Rela yang dilaksanakan kerajaan menyebabkan anggota agensi itu turut berbubah dalam semua aspek selain mendapat elaun lebih tinggi serta tugas yang lebih mencabar.

Menurutnya,berikutan perkembangan itu kerajaan membelanjakan RM7.2 juta setahun untuk membayar elaun bertugas kepada anggota yang terbabit dalam tugasan yang diarahkan oleh jabatan berkenaan

“Malah semua anggota berkenaan juga turut diberi perlindungan insuran sehingga RM40,000 jika meninggal dunia ketika menjalankan tugas rasmi,” katanya ketika merasmikan Pusat Khidmat Komuniti Rela Felda Selasih, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi,Ramlan Ali dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abdul Malik Rani dan Pengarah Rela Terengganu,Ahmad Wahab.

Beliau berkata, minat rakyat negara ini untuk menyertai Rela turut berubah apabila keanggotaan agensi itu kini mencapai dua juta anggota berbanding hanya seramai 530,000 pada 2008..

 Katanya, daripada jumlah itu terdapat 5,934 anggota adalah terdiri daripada peneroka Felda yang turut serta menyertai pasukan berkenaan.