Halaman

17 August 2012

Zon khas pengayuh beca

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan zon khas beca sempena pembukaan Payang Walk, berhampiran Pasar Payang, Kuala Terengganu bagi memulihkan imej golongan itu yang bertindak sebagai duta pelancongan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Haji Azmi Razik, berkata konsep yang digunapakai dari Melaka itu akan menggunakan khidmat pengayuh beca dari kalangan golongan muda dan operasi mereka diselaraskan di bawah satu bumbung.

“Kita mahu menggunakan konsep sebagaimana di Melaka yang mana kita tempatkan mereka di satu zon khas sempena pembukaan Payang Walk. Kita memilih pengusaha beca di kalangan generasi muda yang masih bertenaga.

“Bayaran gaji secara bulanan dan pendapatan lebihan dianggap sebagai pendapatan dia, sebagaimana juga konsep francais,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada pengayuh beca, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.

Katanya, YPU juga akan memohon peruntukan khusus untuk membaik pulih beberapa beca yang terpilih dan uzur bagi menjaga imej pelancongan negeri sempena TMT 2013.

Selain itu, beliau berkata, faktor usia golongan pengayuh beca yang rata-rata lebih daripada 60 tahun menyebabkan mereka gagal dan sukar menerima serta memanfaatkan evolusi terbaru seperti solar hybrid dan enjin yang diperkenalkan kerajaan kepada golongan itu.