Halaman

27 August 2012

Terengganu cadang wujud Kolej Pengajian Kinesiologi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang membina Kolej Pengajian Kinesiologi Terengganu bagi mewujudkan saluran untuk pembangunan sukan yang lebih holistik dan berkesinambungan pada masa depan.

Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSN) Encik Ibni Amin Busu, berkata MSN berperanan merealisasikan hasrat membina pusat pengajian tinggi itu sebagai kesinambungan kepada usaha membudayakan sukan di negeri ini.

“Berdasarkan objektif Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu bermula 2010 hingga 2020, MSNT akan menggerakkan usaha secara bersepadu bagi mewujudkan kolej yang bakal merancakkan lagi pembangunan sukan negeri merangkumi aspek membuka peluang pengajian tinggi yang lebih terbuka kepada atlet negeri ini yang memiliki potensi tinggi.

“Malah, penubuhannya nanti akan melahirkan generasi atlet yang berdaya saing serta mempunyai tahap intelek yang tinggi dalam sukan,” katanya.

Selain itu, Encik Ibni berkata, kolej berkenaan juga dapat melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang sukan.

Katanya, pusat pengajian itu juga mampu menyemai kesedaran kepada masyarakat mengenai potensi bidang sukan sebagai satu kerjaya, sekali gus menawarkan program akademik jangka panjang dan jangka pendek bagi meningkatkan tahap profesional jurulatih, pentadbir serta pegawai sukan.

“Kolej berkenaan menjadi satu platform bagi penyelidikan saintifik yang dapat menggalakkan budaya penyelidikan sukan. Pada masa yang sama, ia juga mempromosi Terengganu sebagai hab untuk pendidikan sukan,” katanya.