Halaman

14 August 2012

TDM Berhad sumbang RM50 ribu kepada Serikandi

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Anak syarikat kerajaan Terengganu, Terengganu Development Management (TDM) Berhad memperuntukkan RM50,000 untuk disumbangkan kepada Badan Amal dan kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat ( Serikandi ).

Pengerusi TDM Datuk Roslan Awang Chik, berkata sumbangan yang diagihkan itu sebagai sokongan kepada Serikandi untuk menjayakan program amal tahunan dengan menyediakan biskut raya kepada lima pasukan keselamatan sempena menyambut hari lebaran nanti.

“Pihaknya kami sangat mengiktiraf khidmat, jasa dan pengorbanan pihak polis dan tentera dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.

“Anggota keselamatan negara rela bertugas dan berjuang tanpa mengira waktu semata-mata mahu melihat negara kita bebas daripada ancaman musuh,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis itu yang disempurnakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi)yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud itu, sebanyak 3,340 bungkusan biskut raya diserahkan pasukan keselamatan sebagai penghormatan dan tanda terima kasih.

Lima pasukan keselamatan yang menerima bungkusan itu adalah, Polis Diraja Malaysia, Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu dan Askar Wataniah.

Datuk Roslan memberitahu sumbangan ini adalah di bawah Polisi Filantropi yang telah diluluskan pada Mesyuarat Agong Tahunan ke-47 syarikat yang diadakan pada bulan mei tahun ini.

“Di bawah polisi ini, kumpulan TDM akan menyumbang sebanyak 2% keuntungan bersih tahunan selepas cukai , kepentingan minoriti dan pembayaran dividen kepada organisasi dan pertubuhan di Terengganu yang mendapat pengecualian cukai yang terlibat dalam program dan aktiviti pembangunan sosial, sukan dan ekonomi.

“Sejumlah RM2.1 juta telah diperuntukkan oleh syarikat bagi tujuan itu dan RM1 juta telah diserahkan kepada kerajaan negeri secara pendahuluan pada bulan jun baru-baru ini,” katanya.