Halaman

08 August 2012

Simbolik Kemerdekaan ke-55, kunjungan PM diiringi selawat 55 imam

Oleh: Aida Abd Rahman

YB Ustaz Haji Ramli Nuh meninjau persiapan di Padang Nenas untuk menyambut ketibaan PM

Seramai 55 imam dan bilal akan mengiringi ketibaan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sambil mengalunkan selawat sempena kunjungan pemimpin nombor satu negara di majlis berbuka puasa di padang bola bersebelahan Masjid Kampung Padang Nanas, Tepoh, Khamis ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata bilangan 55 imam dan bilal dari Parlimen Kuala Nerus itu adalah simbolik dengan sambutan Kemerdekaan Negara yang ke-55.

Katanya, Perdana Menteri dijangka akan berucap sejurus Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selesai memberi ucapan masing-masing.

“Beliau juga akan menyampaikan bantuan jubah kepada imam dan bilal dari Parlimen Kuala Nerus, sebelum mengagihkan sumbangan ehsan Ramadan kepada anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya.

“Selesai berbuka puasa, tetamu kenamaan dan orang ramai akan menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Padang Nanas. Dato’ Sri Mohd Najib kemudiannya akan ke Masjid Wakaf Tembesu bagi menunaikan solat Isya’ diikuti berterawih dengan penduduk tempatan,” katanya.

Haji Muhammad Ramli berkata, majlis berbuka puasa secara tradisional dengan menyajikan pelbagai juadah tradisi Terengganu seperti nasi berlaukkan gulai daging, ikan goreng, ulaman, sambal belacan dan pelbagai kuih tradisional.

Katanya, tugas menghidangkan nasi dan kuih muih itu diserahkan kepada Pergerakan Wanita Umno yang akan mengagih-agihkan masakan selain tempahan untuk dihidangkan kepada lebih 10,000 tetamu pada hari berkenaan.