Halaman

13 August 2012

Sibuk persiapan raya, jangan lupa sambutan kemerdekaan : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah meminta penduduk negeri ini tidak melupakan sambutan Kemerdekaan ke-55 negara walaupun masing-masing sedang sibuk menguruskan persiapan menyambut lebaran yang hanya berbaki beberapa hari lagi.

“Dalam keadaan semua umat Islam sedang sibuk menguruskan persiapan hari raya tidak lama lagi, saya berharap kita semua terutama penjawat awam tidak melupakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tanggal 31 Ogos ini.

“Sambutan hari raya memang dinantikan semua, namun kita harus tidak sesekali lupa di mana bumi berpijak, di situ langit dijunjung di mana keamanan, kedaulatan dan perpaduan utuh yang kita kecapi harus dipertahankan dengan meraikan hari merdeka negara nanti,” kata beliau ketika ditemui di pejabat beliau, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sambutan kemerdekaan yang agak suram di kalangan penduduk negeri ini, malah kebanyakan premis perniagaan masih banyak yang tidak memasang Jalur Gemilang walaupun banyak kempen dilaksanakan bagi menyemarakkan sambutan itu.

Dato’ Mazlan turut menasihatkan orang ramai supaya dapat mencari inisiatif sendiri membeli Jalur Gemilang untuk dikibarkan di premis perniagaan, perkampungan dan rumah masing-masing, selain dilekatkan pada kenderaan.

“Kalau boleh keluar belanja sedikit dan beli bendera untuk sama-sama menyemarakkan sambutan ulang tahun negara. Sekurang-kurangnya kita menonjolkan identiti sebagai warga negara serta bangga menjadi anak Malaysia,” katanya.