Halaman

12 August 2012

Raya kali ini lebih bermakna

Oleh: Aida Abd Rahman
Ketibaan lebaran kira-kira seminggu lagi lebih bermakna kepada 40 remaja dan kanak-kanak Orang Asli dari Sungai Berua, Hulu Terengganu apabila mereka berpeluang memilih sendiri baju raya sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu(Maidam) di Saleem Aziz Textiles, Gong Kapas, Kuala Terengganu, hari ini.

Seorang penerima, Ahmad Mustaman Kamarudin, 15, berkata dia berasa sungguh teruja untuk memakai baju Melayu baru pada hari raya pertama nanti.

“Saya sangat menantikan sumbangan Maidam dan ini merupakan kali kedua saya menerimanya . Tidak sabar mahu memakai baju baru ini. Terima kasih Maidam kerana sentiasa membantu kami,” katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi Nizam Alias, 18, apabila berpeluang untuk tahun kedua memilih baju Melayu sendiri dan menambahkan lagi kemeriahan sambutan itu.

“Saya sudah bekerja, tetapi pendapatan kecil serta tidak mampu membeli banyak pakaian baru untuk di pakai pada hari raya. Saya cuma mampu membeli sepasang baju baru.

“Mujurlah pihak Maidam membantu kami Orang Asli Sungai Berua dengan menyediakan pakaian baru ini. Dapatlah kami memakainya pada hari raya pertama nanti,” katanya.

Seorang lagi kanak-kanak Orang Asli, Zetti Alias, 12, berkata adik beradiknya yang berjumlah lapan orang mengehadkan kemampuan ibu bapanya menyediakan pakaian baru kepada mereka.

"Hari ini kami semua amat gembira sebab ada pihak yang bantu kami..dapat pilih baju sendiri. Tidak sabar mahu memakainya dan berhari raya dengan kawan-kawan di kampung,” katanya yang pertama kali menerima pakaian sempena hari raya itu daripada Maidam.