Halaman

19 August 2012

Rahsia kejayaan Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Pembangunan jangka panjang dan perancangan teliti menjadi rahsia kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) hingga muncul juara empat kali berturut-turut temasya berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata pelbagai aspek diutamakan termasuk berkaitan kebajikan atlet, komitmen tinggi seluruh ahli kontinjen dan sokongan padu pemimpin.

Katanya, sifat kerajaan negeri yang tidak `lokek’ untuk mengagihkan insentif kepada atlet setiap kali memperolehi kejayaan antara faktor atlet Terengganu mempunyai semangat juang yang tinggi bagi menggapai kejayaan.

“Kita bersetuju untuk mengagihkan insentif kemenangan kepada setiap atlet, masing-masing RM5,000 bagi setiap pingat emas, RM3,000 (perak) dan pingat gangsa RM2,000 sejak 2008 lagi.

“Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf kejayaan anak-anak Terengganu di bidang sukan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa bagi meningkatkan prestasi mereka,” katanya.

Menurutnya, biasiswa untuk atlet sekolah sukan turut diperkenalkan di mana mereka yang belajar di sekolah biasa layak menerima elaun bulanan RM50 manakala bagi Sekolah Sukan Bukit Nenas diberi RM60.

“Skim lain yang turut diperkenalkan adalah biasiswa atlet Sukma, bintang kecemerlangan, skim hadiah cemerlang dan skim wakil negara di mana jumlah pembayarannya bergantung kepada jenis skim,” katanya.

Sebagai rekod, Terengganu muncul juara Sukma buat kali pertama pada edisi 2008 ketika menjadi tuan rumah temasya tersebut, sekali gus menamatkan dominasi Selangor yang cukup digeruni suatu ketika dahulu.

Beraksi di laman sendiri pada 2008, kontinjen Terengganu ternyata mengambil segala kelebihan untuk membolot 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Momentum itu diteruskan pada Sukma 2010 di Melaka yang menyaksikan kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan selaku juara dengan pungutan 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Kontinjen Terengganu terus berada pada trek kejayaan apabila menjuarai temasya Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa pada edisi 2011 di Kuala Lumpur.

Bagi edisi Sukma kali ini, Terengganu tampil lebih bergaya apabila membawa pulang 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa, seterusnya meninggalkan Selangor di tempat kedua dengan catatan 47 emas, 54 perak dan 60 gangsa.

Kejayaan merangkul 62 emas itu merupakan pencapaian terbaik Terengganu setakat ini biarpun tuan rumah Sukma ke-15, Pahang tidak mempertandingkan beberapa acara seperti kenu dan mendayung yang dianggap 'kekuatan' kontinjen Terengganu Hanelang itu.