Halaman

26 August 2012

Penduduk Marang kunjungi rumah terbuka `giant killer'

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 10,000 tetamu membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar, di Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, semalam (25 Ogos).



Turut hadir memeriahkan majlis anjuran bekas Ahli Parlimen Marang dan isteri, Datin Robiah Hitam itu adalah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud serta anak-anak, kira-kira jam 1.30 petang.



Hadir sama, Ketua Bahagian Umno Marang, Dato' Yahya Khatib Mohamad merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri, Saiful Bahri Baharuddin dan beberapa pemimpin politik serta pegawai kanan kerajaan .

Dalam kunjungan itu, Menteri Besar mengucapkan terima kasih dengan jemputan dan kehadiran penduduk tempatan yang memeriahkan sambutan rumah terbuka anjuran pemimpin yang pernah digelar `giant killer’ berkenaan.



“Majlis seumpama ini mampu mengeratkan hubungan antara kita khususnya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, berlainan parti dan ideologi.

“Bagaimanapun, di kesempatan ini saya berharap penduduk di sekitar Marang ini merenung semula sejarah dan perkembangan semasa di sekeliling kita mengenai apa yang sudah kerajaan Barisan nasional (BN) laksanakan hari ini yang memberi pelbagai manfaat kepada kehidupan kita dari kecil sehingga dewasa,” katanya.

Beliau berkata, jika penduduk Marang memilih BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, lebih banyak kemajuan dan pembangunan dapat dilaksanakan selaras dengan kesinambungan pentadbiran di peringkat Parlimen, negeri mahu pun Pusat.