Halaman

13 August 2012

MB bersama perantau pada 2 Syawal

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua anak Terengganu yang berada di perantauan dan pulang berhari raya ke kampung masing-masing dijemput memeriahkan sambutan Hari Raya Bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada 2 Syawal 1433 Hijrah (Isnin) ini.

Program tahunan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri bakal diadakan di Hotel Permai , bermula jam 9.30 pagi hingga 1.30 petang.

Peluang pulang dan menghabiskan cuti di kampung halaman boleh dimanfaatkan untuk berkumpul bersama rakan dan handai taulan di program itu, sambil bersua muka dengan pemimpin nombor satu negeri serta barisan exco dan pegawai kerajaan yang hadir.

Selain menjamu selera dengan pelbagai juadah tradisi Terengganu seperti nasi dagang dan kuih -muih, tetamu juga akan dihiburkan dengan acara persembahan pentas.

Sebelum itu wakil perantau yang terdiri daripada Persatuan Anak Terengganu Wilayah Persekutuan dan Selangor (Pesat) dan pelajar menyampaikan ucapan yang kemudian disusuli ucapan oleh Menteri Besar.

Di penghujung program akan diadakan cabutan bertuah kepada tetamu bertuah yang menyediakan pelbagai barangan menarik termasuk televisyen dan telefon bimbit.