Halaman

27 August 2012

Lebih 6,000 tertamu hadir Majlis Sambutan Merdeka Raya PDKT

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terenganu (PDKT) tidak pernah ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Merdeka Raya setiap kali menjelang Syawal bagi meraikan penduduk sekitar Kuala Terengganu dan pelanggan pejabat itu.



Lebih 6,000 tetamu termasuk 25 penghuni Taman Sinar Harapan (TSH), Bukit Besar, Kuala Terengganu hadir pada majlis yang bermula jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang itu.



Pelbagai juadah istimewa dan makanan tradisional Terengganu dihidang kepada tetamu termasuk nasi dagang, nasi minyak, tapai pulut, ketupat pulut, mee kari, laksa Terengganu, nasi himpit dan pelbagai jenis biskut raya.

Pegawai Daerah PDKT, Haji Nawawi Wan Ismail, berkata majlis seumpama ini menjadi program tahunan kepada PDKT untuk meraikan orang ramai dan pelanggan.

“Apa yang istimewanya, kita bukan saja menyelitkan replika ketupat nasi pada kanopi malah turut memasang bendera Malaysia sebagai menyokong saranan kerajaan, selain menyuburkan lagi semangat kemerdekaan.

“Majlis kali ini pun, kita mempunyai temanya tersendiri iaitu `Kegembiraan dan
Keceriaan Hari Raya Dalam Suasana Sebenar Menyambut Kemerdekaan’,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu, di perkarangan PDKT, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, dia ingin berpesan kepada kakitangan khususnya penduduk seluruh Terengganu supaya setia kepada kerajaan sedia ada jika ingin terus merasai kemakmuran dan keamanan.



“Kepada generasi merdeka diharap tidak melupakan jasa-jasa pemimpin terdahulu dan yang ada sekarang, ingat jasa mereka yang banyak berkorban demi menjaga kedamaian negeri dan negara.

“Jangan mudah percaya segala hasutan dan fitnah yang dilempar pihak tertentu kerana mengetahui mereka berniat jahat dan apa yang dilakukan itu semata-mata ingin merosakkan keharmonian Terengganu dan negara,” katanya.