Halaman

11 August 2012

Kerajaan akan bina Hospital UniSZA

Oleh: Kamarudin Mat Akib (KLIK: LENSA DI PROGRAM)

Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berharga kira-kira RM400 juta akan dibina di Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Pembinaan hospital berkenaan bakal memberi lebih keselesaan kepada pesakit di negeri Terengganu dan juga untuk kemudahan pelajar perubatan UniSZA menjalani latihan amali.

Pembinaan hospital baru itu juga bakal mengatasi masalah kesesakan di Hospital Nur Zahirah dan mempercepatkan rawatan bagi pesakit kronik.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan pembinaan hospital berkenaan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama-sama Perantau Anak Terengganu di Wilayah Persekutuan dan Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.



Kira-kira 3,000 perantau terdiri daripada pegawai-pegawai kanan agensi Kerajaan Persekutuan, penjawat awam, pelajar dan kumpulan profesional yang berasal dari Terengganu hadir pada majlis tersebut.



Hadir sama To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan Presiden Persatuan Anak-Anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat).

Menteri Besar berkata, majlis pecah tanah pembinaan hospital berkenaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

“Banyak lagi projek pembinaan kemudahan asas bakal dilaksanakan di Terengganu dalam tahun ini bagi kemudahan rakyat Terengganu serta menambah peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.



Beliau turut meminta rakyat Terengganu yang berada di luar negeri itu turut membantu kerajaan negeri membangunkan Terengganu dan menyokong kerajaan yang ada sekarang ini bagi membolehkan projek yang dirancang berjalan dengan lancar.