Halaman

16 August 2012

Kempen Gagal Tanpa Kerjasama Pengguna Jalan Raya

Oleh Hazwan Roslee

Usaha kerajaan mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya menerusi pelbagai kempen akan gagal tanpa kerjasama daripada pengguna-pengguna jalan raya.


Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, kerjasama pengguna merupakan faktor penentu utama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Selain kempen, kerjasama semua pihak terutama pengguna jalan raya amat penting supaya usaha kerajaan dapat memberikan manfaat kepada mereka.

"Namun di pihak MKJR negeri, selagi ada mangsa yang terkorban, selagi itulah kami akan berusaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Aidilfitri 2012 di Bukit Besi, Dungun, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Dato’ Din Adam dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Abdul Rahman Emang Anyie.

Pada majlis itu, 3,000 beg berisi hamper Aidilfitri, risalah keselamatan jalan raya dan pelekat kenderaan diagihkan kepada pengguna jalan raya.

Tambah Dato’ Yahya, pelbagai langkah telah diambil kerajaan menerusi MKJR dan agensi lain untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.

“Antaranya ialah penerapan nilai etika keselamatan di jalan raya kepada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah,” katanya yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.