Halaman

20 August 2012

Kampung Cina simpan pelbagai warisan bersejarah

Oleh: Suriati Ali

KAWASAN Kampung Cina yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan antarabangsa terpenting di rantau ini pada abad ke-18 masih menyimpan pelbagai warisan bersejarah termasuk deretan bangunan tua yang berseni.

Kampung Cina yang didiami penduduk berketurunan Cina sejak hampir 300 tahun lalu itu juga mempunyai sebuah perigi yang dipercayai tertua di Terengganu.

Keistimewaan perigi ini bukan sahaja kerana usianya, namun dikatakan pernah berjasa kepada penduduk setempat serta membekalkan air kepada pedagang asing yang berniaga di situ.

Perigi itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana airnya dipercayai tidak pernah kering malah masih digunakan sehingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, berkata pihaknya menyokong jika ada sebarang cadangan untuk menjadikan Kampung Cina sebagai salah satu tapak warisan dunia di negara ini.

Katanya, dari segi sejarah, Kampung Cina dan kawasan sekitarnya pernah menjadi kawasan perdagangan dan perniagaan terpenting di kalangan ahli peniagaan daripada pelbagai bangsa dan negara termasuk Britain, China dan Thailand.

“Malah, pertumbuhan awal perniagaan di Kuala Terengganu bermula di Kampung Cina.

“Sangat wajar Kampung Cina ini dipulihara sebagai salah satu tapak warisan dunia di negara ini,” katanya.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mampu mempopularkan negeri ini malah memartabatkan kembali kawasan yang pernah menjadi tapak perniagaan dan perdagangan terpenting di rantau ini pada abad ke-18.

“Dulu saya pernah mendengar ura-ura pihak-pihak tertentu yang mahu mengusahakan Kampung Cina dijadikan tapak warisan dunia, tetapi sekarang ia diam begitu sahaja,” katanya.
Chin Yaw turut memberitahu, masyarakat berketurunan Cina yang paling padat menetap di negeri ini ialah di Kampung Cina dan ia menjadi pilihan kerana kedudukannya di sebelah kanan muara Sungai Terengganu menjadi tempat berlabuh wangkang.

“Rumah dibina bertiang tinggi bagi mengelakkan ancaman pasang surut air sungai atau banjir. Ia menyerupai bentuk rumah yang terletak di negeri China,” katanya.