Halaman

19 August 2012

Indikator utama penguasaan Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Banyak indikator utama yang menyumbang kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) sepanjang empat edisi yang bermula 2008 dengan mengumpul 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa, berbanding kedudukan terbaik berada di tangga keenam Sukma Selangor 1998 dan meraih 15 emas sebagai pungutan pingat terbanyak pada Sukma Kedah 2006.

Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Ibni Amin Busu, berkata faktor utama penyumbang kejayaan itu adalah dasar kerajaan Terengganu yang meletakkan sukan pada satu landasan tepat berbeza jika dibandingkan kerajaan negeri lain.

“Kerajaan Terengganu meletakkan pembangunan selari dengan sektor utama yang lain dengan melibatkan peruntukan besar kepada sukan sehingga mampu menggalakkkan atlet, penggiat sukan, persatuan serta MSNT untuk bergiat dengan aktif dalam pembangunan sukan negeri.

“Faktor lainnya, selepas diberi hak menjadi tuan rumah Sukma 2008, kita menyediakan pelan pembangunan sukan secara terancang yang bermula sejak 2006 lagi, iaitu dua tahun lebih awal serta berkesinambungan sehingga tahun seterusnya,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di pejabat beliau, baru-baru ini.

Encik Ibni berkata, program penyediaan atlet juga mengguna pakai modul latihan serta kaedah persiapan atlet kebangsaan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan kaedah berkenaan disesuaikan dengan keperluan serta persekitaran atlet negeri.

Katanya, kerjasama erat di kalangan semua pihak melibatkan kerajaan negeri, persatuan, penggiat sukan dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) mampu mengelakkan timbulnya masalah berkaitan sukan dan merealisasikan hala tuju dengan lebih efektif.

“Setiap persatuan sukan pula ditubuhkan jawatankuasa kerja masing-masing yang terdiri di kalangan wakil daripada persatuan sukan, MSNT, wakil Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan orang perseorangan daripada panel penasihat kejurulatihan negeri Terengganu yang terdiri daripada pakar akademik Sains Sukan bagi membolehkan mereka berkongsi idea dan ilmu berkaitan pengalaman masing-masing.

“Peranan pegawai perhubungan sukan atau `lesion officers’ juga banyak membantu melancarkan urusan pentadbiran dan mengurangkan karenah birokrasi dalam memastikan program latihan berjalan dengan baik dan berterusan,” katanya.

Encik Ibni berkata, penubuhan jawatankuasa ini menjadikan setiap acara sukan ini sebagai tanggungjawab bersama dan tiada pihak yang boleh menuding jari menyalahkan pihak lain apabila timbulnya sebarang masalah.

“Ini mewujudkan persekitaran yang selesa di kalangan mereka kerana boleh berbincang dan duduk semeja bagi menyelesaikan perkembangan sukan negeri. Keakraban ini menjadi faktor menyumbang kejayaan kita,” katanya.

Pada masa yang sama, jawatankuasa kerja turut memantau program latihan mengikut mekanisme ditetapkan, selain mewujudkan jawatankuasa operasi di kalangan pengurus pasukan, pengurus sukan dan jurulatih khusus bagi memantau program latihan sahaja, berbanding jawatankuasa kerja yang merangkumi semua aspek.

“Latihan secara berterusan dan dirangka lebih awal. Selesai Sukma Pahang 2012 kita akan memulakan latihan untuk Sukma 2014, sementara Sukma tahun depan kita sudah mulakan latihan sejak tahun lalu.

“Dari segi atlet dan pengurus pasukan yang diserahkan kepada persatuan masing-masing juga dilantik lebih awal dan seharusnya individu yang bertanggungjawab terhadap kemajuan sukan itu, sementara pengurus sukan yang bertindak sebagai penghubung antara persatuan dan MSNT dilantik di kalangan pegawai MSNT,” katanya.

Katanya, setiap sukan juga menyediakan pelan periodisasi latihan masing-masing yang dirangka bersama pakar daripada Majlis Sukan Negara Malaysia dan para profesional bidang akademik universiti di seluruh Malaysia dalam bengkel yang dilaksanakan pada awal musim.

Beliau berkata, latihan atlit secara bersepadu beserta insentif kemenangan pingat, elaun bulanan yang semakin meningkat serta biasiswa kepada pelajar di sekolah sukan juga mendorong semangat dan kesungguhan mereka.

Katanya, atlit yang menerima elaun atau insentif Skim Latihan Atlit (Fasa I) akan menerima RM130 bermula akhir tahun sehingga November tahun seterusnya, manakala bermula Disember berikutnya sehingga Jun tahun semasa (menjelang Sukma) akan menerima bayaran RM390 (Fasa II).

“Jika atlit memenangi emas di Sukma Pahang, mereka akan mendapat Skim Bintang Cemerlang pada sesi latihan seterusnya yang bernilai RM300 untuk setiap emas, RM200 (perak) dan RM100 (gangsa) setiap bulan bermula Ogos,” katanya yang mengakui kadar elaun berkenaan adalah paling tinggi ditawarkan berbanding negeri lain.

Malah, MSNT juga menjalinkan persefahaman dengan institusi pengajian tinggi di seluruh Terengganu supaya atlit dapat memasuki pusat latihan kemahiran apabila tamat persekolahan kelak untuk menyambung pengajian bagi mengikat mereka terus menjalani latihan dan mewakili Terengganu.

Selain itu, penambahbaikan struktur MSNT dengan penekanan kepada `core-business’ dan `caretaker, program pemantapan kerohanian yang diadakan dari masa ke semasa termasuk program motivasi dan kem berasingan serta berkelompok juga memberi impak secara langsung kepada kemajuan atlet.

“Unit Sukan Berprestasi Tinggi dari MSN turut diwujudkan di Terengganu yang mewujudkan kerjasama dua hala di mana kita turut menggunapakai mereka dan melantik mereka sebagai pengurusan suka. Selain melatih atlet pelapis, mereka juga turut melatih etlit Sukma.

“Kita juga mengambil jurulatih luar negara bagi bagi menaikkan tahap dan prestasi acara tertentu seperti sepak takraw, taekwando, squash, renang dan badminton, selain dibantu jurulatih tempatan,” katanya.
ENDs