Halaman

01 August 2012

Gangguan bekalan air di lapan kawasan

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (Satu) memberitahu Sungai Dungun khususnya di Loji Rawatan Air di Kampung Jerangau Sungai mengalami paras air surut yang amat ketara dan berada di bawah aras injap kaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata faktor itu menyebabkan loji rawatan air Satu di Kampung itu tidak dapat beroperasi kerana air sungai gagal disedut untuk diproses di loji rawatan.

Katanya, pada paras air normal, loji air itu mampu memproses 6.7 juta liter air sehari.

“Ekoran daripada fenomena ini, kawasan-kawasan yang mendapat bekalan air dari loji ini akan mengalami gangguan bekalan air.

“Pihaknya sukar untuk menganggarkan tarikh pemulihan gangguan ini kerana ianya bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya dalam satu kenyataan.

Kawasan-kawasan yang terlibat adalah, Felda Jerangau Barat, Jerangau Felda, Kampung (Kg) Landas, Kg Pela, Kg Durian Kassim, Kg Tok Dor, Kg Peroh dan Kg Surau Binjai.

Menurutnya, gangguan itu yang melibatkan lapan kampung itu dijangka dialami pengguna bermula hari ini

“Satu telah menggerakkan jentera untuk membekalkan air kepada pengguna melalui lori-lori tangki dan tangki-tangki statik., selain berusaha untuk meminimakan kesan gangguan bekalan ini kepada pengguna melalui penghantaran air secara manual.

“Pengguna di kawasan terbabit diminta untuk bersabar dan menggunakan air secara lebih berhemah,” katanya.