Halaman

14 August 2012

Galeri Seni aktiviti baru tarik pelawat ke Bazar Warisan

Oleh: Aida Abd Rahman
Bazar Warisan bakal dikunjungi lebih ramai pelawat dari dalam dan luar Terengganu apabila kerajaan negeri bersetuju mewujudkan Galeri Seni bagi menempatkan hasil kerja dan karya seni pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, di ruang legar premis itu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata usaha mewujudkan galeri berkenaan dicadangkan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM selepas terdapat pengkhususan diploma baru yang diperkenalkan pusat pengajian itu seperti Seni Reka Grafik & Media Digital dan Seni Reka Tekstil .

Malah, katanya terdapat juga Diploma Seni Reka Fesyen dan Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif yang mampu mempamerkan hasil kerja, karya seni dan kreativiti pelajar berkaitan kekayaan seni, warisan dan budaya negeri yang akan ditempatkan di lokasi khusus yang mudah dikunjungi pelawat.

“Pada setiap Mei dan Oktober, pelajar berkenaan berpeluang mempamer dan memperkenalkan seni grafik dan digital menghasilkan batik, songket dan tekstil yang terkenal di Terengganu.

“Selain pusat pameran, galeri itu juga berfungsi sebagai pusat jualan hasil kerja seni kepada pelajar, selain dapat menerapkan asas keusahawanan ke dalam diri setiap pelajar,” katanya di sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam (13 Ogos) .

Dato’ Abdul Rahin berkata, galeri seni berkenaan mampu menjadi `design centre’ dengan menawarkan khidmat konsultansi seni reka kepada pengusaha dan organisasi yang memerlukan, sekali gus dapat mewujudkan jalinan industri dan pendedahan yang meluas kepada para pelajar terlibat.

“Aktiviti yang terdapat di Galeri Seni itu nanti dapat menarik kunjungan lebih ramai pelawat ke Bazar Warisan yang menjadi satu daripada destinasi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara ke negeri ini.

“Malah, kita juga berharap supaya suasana baru itu mampu melariskan lagi perniagaan yang terdapat di Bazar Warisan,” katanya.