Halaman

09 August 2012

Exco berbuka dengan anggota keselamatan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, meluangkan masa malam tadi untuk berbuka puasa bersama-sama anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan negara.



Beliau turut membawa kira-kira 20 pemimpin belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, berbuka puasa di Markas Taktikal BN 9 Lubok Setol, Rantau Panjang, Kelantan.

“Saya sengaja membawa pemimpin belia bersama-sama rombongan hari ini supaya mereka turut merasai pahit getir dan kesusahan yang dialami anggota pasukan keselamatan menjalani ibadat puasa sambil bertugas mempertahankan benteng negara,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di markas tersebut.

Lima kakitangan Unit Komunikasi Negeri yang diketuai Timbalan Pengarah, Saudara Ruslan Abd Rahman, turut menyertai rombongan berkenaan.



Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, seramai 329 anggota PGA Batalion 9 Gong Badak, ditugaskan mengawal sempadan negara dari Rantau Panjang hingga ke Pengkalan Kubor selama satu bulan, mulai 16 Julai lalu.



“Saya mengambil kesempatan untuk berbuka puasa dengan anggota PGA pada hari ini bagi memberi semangat kepada mereka yang telah berkorban meninggalkan anak dan isteri bagi menjalankan tugas menjaga sempadan negara.

“Kunjungan ini juga merupakan penghargaan negeri kepada anggota pasukan ini yang sanggup berkorban sepanjang perkhidmatan mereka demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Pada kesempatan itu beliau mengagih-agihkan sumbangan berupa makanan kepada semua anggota PGA yang bertugas di situ.

Beliau turut menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 daripada Kerajaan Terengganu kepada Kelab Kebajikan Polis PGA Gong Badak.



Penyerahan cek replika bagi tujuan itu diserahkan Dato’ Ahmad Razif kepada Pegawai Memenrintah Batalion 9, Supt Mohd Abduh Ismail.