Halaman

11 August 2012

Dua Exco urus dana bantuan pesakit

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju untuk menyelaraskan dana-dana bantuan berkait dengan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu golongan sasar agar tidak berlaku pertindihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri YB Dr. Haji A.Rahman Mokthar berkata, jawatankuasanya telahpun mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarkat dan Wanita negeri, Dato' Yahya Khatib Mohmad baru-baru ini.

Katanya, melalui perbincangan tersebut, kedua-dua jawatankuasa telah bersetuju untuk menyelaraskan dana-dana yang disediakan oleh kerajaan negeri seperti Tabung Darul Iman, Tabung Sosial Perubatan dan Tabung Penyakit Kronik.

Beliau berkata, melalui perbincangan itu juga telah bersetuju supaya Tabung Darul Iman diletakkan di bawah penyelarasan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarkat dan Wanita negeri.

``Manakala dana Tabung Sosial Perubatan dan Tabung Penyakit Kronik di bawah penyelarasan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri,’’ katanya

Menurut beliau, sebelum ini dana Tabung Darul Iman dan Tabung Penyakit Kronik adalah di bawah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri dan Pejabat Menteri Besar untuk membantu mereka yang terlibat dengan bencana alam, bantuan segera dan penyakit kronik.,

Manakala Tabung Sosial Perubatan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri untuk bantuan rawatan dan perubatan melibatkan semua jenis penyakit termasuk penyakit kronik.

Katanya, walaupun dana itu diselaraskan tetapi fungsinya masih dikekalkan dan akan diberi penambahbaikan bagi memastikan lebih ramai golongan sasar dapat dibantu.

Beliau menambah, melalui penyelarasan itu nanti kes yang berkaitan dengan kesihatan, penyakit dan perubatan akan disalurkan terus kepada Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri untuk mendapatkan kelulusan.

Manakala dana Tabung Darul Iman akan menyalurkan bantuan khusus kepada mereka yang terlibat dalam pelbagai bencana alam dan mereka yang memerlukan bantuan segera.

Katanya, kertas cadangan penyelarasan dana-dana tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Exco terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu, Dr A. Rahman tidak menafikan terdapat kes pesakit memperolehi bantuan lebih daripada satu dana yang disediakan oleh kerajaan.

Katanya, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukan RM3 juta melalui Tabung Penyakit Kronik dan RM2 juta untuk Tabung Sosial Perubatan.