Halaman

09 August 2012

DATO’ NAJIB ULANGI SEJARAH AYAHANDANYA KE MENGABANG TELIPOT

OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN- Pengarang Teganukita

Kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak ke Mengabang Telipot (Masjid Padang Nenas) petang ini- 9 Ogos 2012 adalah mengulangi sejarah kedatangan ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien 41 tahun yang lalu.


Perdana Menteri dan Menteri Besar Terengganu di sambut oleh 55 imam sebagai simbolik 55 tahun kemerdekaan Malaysia di Kg Padang Nenas, Mengabang Telipot.

Oleh itu, kehadiran pemimpin nombor satu negara ini membawa satu nostalgia penting bagi penduduk Mengabang Telipot, terutama yang berumur 50 tahun ke atas yang masih meningati kehadiran Tun Razak suatu ketika dahulu.



Allahyarham Tun Razak datang ke Mengabang Telipot sempena kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit bagi memilih seorang Menteri Besar yang berkaliber untuk negeri Terengganu, berikutan perletakan jawatan oleh Tan Sri Ibrahim Fikri.

Walaupun Dato’ Mahmood Sulaiman mengambil alih selepas perletakan jawatan itu, tetapi hanya sementara untuk beberapa bulan sahaja.



Kebetulan, Allahyarham Dato’ Nik Hassan Abdul Rahman calon parti Perikatan dalam pilihanraya itu adalah Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri, Tun Abdul Razak sendiri waktu itu, sudah tentu beliau turun padang untuk membantu kempen.

Bekas pemimpin Umno Mengabang Telipot, Dato’ Wan Ibrahim Othman (Cigku Wan Ibrahim) ketika dihubungi mengesahkan perisitwa itu di mana perhimpunan atau ceramah umum oleh Tun Razak diadakan betul-betul di hadapan rumahnya di simpang empat Wakaf Tengah, Mengabang Telipot, tidak jauh dari masjid Padang Nenas .

Menurutnya, ribuan orang datang mendengar ucapan atau amanat yang disampaikan oleh Tun Razak sempena pilihanraya kecil itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri,(Adun) Batu Rakit,yang juga Exco Kerajaan Negeri ketika itu, Dato’ Mansor Mohamad meletakkan jawatan mengosongkan kerusi Dun Batu Rakit untuk membolehkan pilihanraya kecil diadakan.

Itu suatu pengorbanan besar yang dibuat oleh Dato’ Mansor memandangkan Dun Batu Rakit, termasuk Mengabang Telipot adalah kubu kuat Umno pada masa itu.



Hasilnya calon Perikatan, Nik Hassan Abdul Rahman menang pilihanraya kecil berkenaan menewaskan calon Pas, Awang Abu Bakar.

Nik Hassan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu menggantikan Dato’ Mahmood Sulaiman.

Apa yang menjadi nostlagianya, ialah kehadiran Perdana Menteri, Tun Razak ke Mengabang Telipot 41 tahun yang lalu dan kini anaknya yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib pula datang mengulangi sejarah itu.

Dato’ Wan Ibrahim berkata, segalanya telah berubah, Mengabang Telipot yang dulunya kampong nelayan yang terpencil kini maju dengan pelbagai instusi pendidikan utama wujud di sini di samping pelbagai pembangunan dan kemajuan lain.