Halaman

21 August 2012

Berwaspada di jalan raya : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berharap anak Terengganu di perantauan yang pulang berhari raya ke kampung halaman masing-masing sempena musim perayaan ini supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga terutama di jalan raya.

Beliau berkata, kesesakan yang ketara di jalan raya boleh mengakibatkan pelbagai insiden, namun kejadian tidak diingini boleh dielakkan jika semua pengguna jalan raya mengamalkan sikap berhati-hati dan berwaspada.

Beliau menasihatkan demikian ketika berucap sempena Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin (20 Ogos).

Dalam majlis itu, lebih 3,000 perantau memenuhi dalam dewan utama dan ruang legar hotel bagi menemui pemimpin utama negeri dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud itu, selain menikmati pelbagai juadah menyelerakan termasuk sate, ketupat, lemang, rending dan kuih-muih.

Anak-anak Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Hajah Norliza turut serta dalam program tahunan anjuran Unit Komunikasi Negeri itu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Ir Nawawi Embong.