Halaman

19 August 2012

Asam Gumpal Kak Han pembuka selera

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra


Setiap kali menjelang bulan Ramadan dan Syawal, membuatkan pengusaha asam gumpal, Wan Kalsom Wan Jusoh atau lebih dikenali sebagai Kak Han seakan pening untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sememangnya berganda berbanding hari biasa.

Mendapat tempahan antara 1,500 hingga 2,000 biji asam gumpal yang dihasilkan dengan menggunakan 10 hingga 15 kilogram tepung sagu itu menjadi rutin harian beliau bersama lima pembantu lain sebaik menjelang awal Ramadan dan akhir Syawal.

Bahan lain yang turut digunakan adalah santan, kacang hijau dan isi nangka.
Rata-rata pelanggan yang datang menempah makanan tradisional itu adalah untuk pelbagai tujuan, termasuk dihidangkan kepada tetamu majlis berbuka puasa, rumah terbuka, mengagihkan kepada jiran atau saudara dan dijadikan sebagai pencuci mulut sewaktu berbuka puasa.

Katanya, dia gemar berpesan kepada pelanggan supaya membuat tempahan seminggu lebih awal bagi mengelak pemintaan mereka ditolak.
Saya seboleh-bolehnya mahu memenuhi pemintaan pelanggan walaupun ada yang menempah disaat akhir, tetapi ia tidak dapat berbuat demikian kerana bilangan pembantu tidak mencukupi selain mahu mengekalkan kualiti rasa asam gumpal.

“Tempahan untuk majlis rumah terbuka sepanjang Aidilfitri akan datang pun sudah ada pelanggan yang membuat tempahan,” katanya.

Kak Han memberitahu apa yang diusahakan itu adalah hasil tunjuk ajar ibu, Hajah Aisyah Sulong yang turut bersama-sama mengusahakannya hampir sepuluh tahun lalu.

“Selepas ibu menyatakan tidak larat untuk mengusahakannya, saya nekad mengambil alih sepenuhnya di samping mengubah resepi ibu daripada asam gumpal halba kepada asam gumpal berisi nangka.

“Ubah suai resipi itu nyata menjadi dan pelanggan lebih mengemarinya kerana ianya bersaiz lebih kecil dan tidak kenyal,” katanya yang ditemui dipremis perniagaannya di Batu Burok, Kuala Terengganu.

Katanya, langkah mengubahsuai resepi itu juga membuatkan dia tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan asam gumpal, kerana rata-rata pelanggan menginginkan dalam kuantiti banyak.

“Pada hari biasa, saya menyiapkan makanan tradisional itu secara bersendirian, sebaik menjelang Ramadan dan Syawal pula, terpaksa memanggil jiran dan saudara tiga sehingga lima orang untuk membantu,” katanya.

Menurutnya, sebelum serius dan memberi tumpuan sepenuhnya membuat asam gumpal, dia ada membuka gerai makanan di Batu Burok, Kuala Terengganu dan ianya hanya bertahan selama empat tahun itu.

“Perniagaan itu terpaksa ditutup semata-mata tidak mahu mengecewakan hati pelanggan yang ingin merasai keenakan asam gumpal hasil tangannya.

“Pada mulanya, saya cuba membahagi-bahagikan masa antara gerai makan dan membuatkan asam gumpal, tetapi ia tidak mampu dan larat untuk berbuat demikian,” katanya.