Halaman

31 August 2012

Alunan muzik pelbagai kaum bergema di Muzium, 9 September ini

Oleh: Aida Abd Rahman
Orang ramai berpeluang menikmati variasi alunan muzik tradisional pelbagai kaum di negara ini termasuk masyarakat Siam dan Orang Asli yang dipersembahkan di perkarangan Kompleks Muzium Negeri Terengganu bermula 9 September ini.

Himpunan Alunan Muzik Tradisional selama tiga hari itu akan berlangsung di Laman Warisan muzium dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Penolong Kurator Bahagian Etnologi muzium, Puan Azlaizie Razali, berkata pelbagai aktiviti menarik turut disediakan oleh peserta selain jualan produk dan program 'Bicara Seni'.

"Sebagai kelainan, hari terakhir program kita akan mempersembahkan gabungan lima alunan muzik dari kaum Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli," katanya.

Katanya, bagi muzik tradisional Melayu, muzium itu memilih alunan muzik Terengganu menerusi persembahan gamelan, ketuk ulu, tarian saba, mak yong serta rebana.

Sehubungan itu, pihaknya mengalukan kehadiran orang ramai dan kemasukan ke program berkenaan adalah percuma.