Halaman

22 August 2012

52 cabutan bertuah pikat tetamu

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebanyak 52 hadiah cabutan bertuah menjadi acara penutup tirai yang menghangatkan lagi sambutan Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Permai Hotel, Kuala Terengganu, kelmarin (20 Ogos).

Acara yang pertama kali diperkenalkan itu bukan sahaja menyebabkan kira-kira 3,000 tetamu tidak berganjak sehingga berakhir program, malah mencuit hari pemimpin yang hadir dengan reaksi spontan pemenang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Mereka teruja mendapat hadiah menarik disediakan penganjur seperti televisyen, telefon bimbit, mesin basuh dan pelbagai tawaran voucer sumbangan anak syarikat kerajaan negeri.

Bukan sahaja bangsa Melayu, masyarakat Cina turut memeriahkan sambutan itu dan berpeluang memenangi cabutan bertuah berkenaan.

Seorang pemenang, Esah Abdullah, berkata dia sangat bernasib baik apabila namanya tiba-tiba diumumkan sebagai pemenang dan berjaya membawa pulang cenderahati kenang-kenangan sempena majlis itu.

“Saya gembira kerana selepas beberapa tahun menyertai program ini, tahun ini bernasib baik daripada ribuan tetamu yang datang dan membawa pulang hadiah istimewa berupa barangan elektrik sebagai tanda kenangan,” katanya.

Keseronokan itu turut dikongsi seorang lagi tetamu, Nik Rosidi Megat Deraman, yang turut membawa peluang hadiah bertuah berupa periuk pelbagai guna di majlis itu.

“Alhamdulillah daripada ribuan tetamu, saya mendapat satu daripada 52 hadiah disediakan itu. Menarik dan teruja untuk menyertainya lagi,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat), Ir Nawawi Embong.