Halaman

09 July 2012

TNB belanja RM60j untuk penambahbaikan sistem musim Ramadan, perayaan

Oleh: Aida Abd Rahman
Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan penambaikan sistem penjanaan dengan membelanjakan kira-kira RM60 juta khususnya bagi menanggung pertambahan beban tenaga elektrik yang mendadak di seluruh Terengganu sepanjang bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Beban penggunaan keperluan asas itu meningkat lima peratus sehingga mampu mencapai kapasiti maksimum 525 megawatt sepanjang musim berkenaan berbanding pada musim biasa.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Haji Md Yuslan Md Yusof, berkata langkah melakukan penambahbaikan sistem bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan elektrik akibat penggunaannya yang mendadak di gerai dan bazar Ramadan seluruh Terengganu.

“Sejarah gangguan bekalan elektrik pada tahun lalu (musim Ramadan) kita gunakan data input untuk melakukan penambahbaikan. Bermakna kalau pada tahun ini jika berulangkali berlaku gangguan semasa bulan Ramadan, insya-Allah kita melakukan penambahbaikan supaya tidak berulang kembali pada musim Ramadan akan datang.

“Malah, pertambahan beban yang mendadak (selain bulan Ramadan) apabila hampir menjelang hari raya, apabila anak-anak pulang kampung, melakukan persiapan hari raya membuat kuih dan sebagainya. Masalah gangguan terjadi menyeluruh di seluruh Terengganu, tidak tertumpu hanya pada satu-satu kawasan sahaja,” katanya di sidang media sempena Majlis Program Ramah Mesra TNB Bersama Media, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Audio Visual Unit Komunikasi Negeri, Kamarudin Mat Akib, ketua biro dan 30 wartawan serta jurugambar media seluruh Terengganu.

Haji Md Yuslan berkata, faktor kepulangan ahli keluarga mendorong kepada peningkatan penggunaan barangan elektrik seperti ketuhar pembakar menjadi antara punca bertambahnya beban penggunaan tenaga itu pada musim berkenaan.