Halaman

01 July 2012

Tindakan Maidam wajar dijadikan pengajaran


Oleh: Suriati Ali

Tindakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melucutkan serta merta pelantikan 39 amil tahun lalu membuktikan jabatan itu menjalankan tugas secara telus dan serius.

Pelucutan itu terpaksa diambil kerana amil tersebut didapati menyelewangan dan gagal menyerahkan wang kutipan zakat dalam tempoh yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata kerajaan negeri kesal dengan tindakan mereka itu yang jelas tidak amanah dan jujur dalam menjalankan tugas.


Katanya, amil adalah individu yang dipercayai masyarakat, jika mereka bersikap tidak amanah, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada pelbagai pihak.



“Tindakan tegas dengan menarik balik serta merta tauliah pelantikan jawatan itu adalah sebagai pengajaran kepada mereka kerana ia satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.

“Kita berharap tindakan tegas ini menjadi pengajaran berguna kepada amil seluruh negeri yang dilantik secara rasmi untuk sentiasa bersikap jujur dan bertanggungjawab, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti 1 Malaysia Peringkat Negeri Terengganu, di padang bola Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, semalam.

Pada program sama, YB Khazan penyampaikan watikah pelantikan 1 Komuniti kepada wakil setiap daerah.

Pelbagai program diadakan, termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertunjukan wau malam, senam seni 1 Malaysia, jualan produk 1Malaysia, sukan rakyat dan sebagainya.

Program yang bertujuan memupuk perpaduan di kalangan ahli komuniti di Terengganu turut mengadakan `Konvoi Kembara Jalinan Kasih’ iaitu menziarahi da menemui penduduk kurang bernasib baik di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

YB Khazan turut memberitahu tugas amil selaku pihak yang diberi amanah untuk membuat kutipan zakat sewajarnya melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh jujur dan amanah.

“Apatah lagi ia menyedari dan menjadi kesalahan besar di sisi agama Islam apabila menyeleweng kutipan zakat,” katanya.