Halaman

04 July 2012

Tatiuc bakal lahir pakar logam dan keluli

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Tati Universiti Kolej (TATiUC) menjalin kerjasama strategik antara
Shaougang Institute Of Technology (SGIT), China dan Eastern Steel Sdn Bhd (ESSB) bagi melahirkan lebih ramai rakyat tempatan yang pakar dalam bidang industri logam dan keluli.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian berkaitan itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mewakili Tatiuc manakala SGIT telah diwakili Naib Presidennya, Wang Lin dan ESSB pula diwakili Pengurus Projek, Tee Choon Hock.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjadi saksi pada majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera.

Tetamu kerhormat lain, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw, beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat.

Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata SGIT yang bergabung dengan syarikat terkemuka, Shaougang Of China mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan.
Antaranya berkaitan bidang metalurgi dan keluli, teknologi maklumat, pembinaan, kejuruteraan alam sekitar, pengurusan ekonomi serta kejuruteraan mekanikal dan elektrikal.

“Melalui kerjasama ini, Tatiuc dengan SGIT akan menyediakan program Teknologi Pembuatan Besi dan Keluli dengan pengkhususan dalam kejuruteraan metalurgi selama setahun.

“Buat permulaan seramai 20 pelajar cemerlang yang juga anak jati Terengganu mempunyai diploma dan ijazah dari mana-mana universiti akan ditawarkan mengikuti kursus kejuruteraan berkaitan sebelum diserap bekerja dengan syarikat ESSB ,” katanya selepas majlis itu.

Katanya, ESSB adalah sebuah syarikat usahasama antara Malaysia Hiap Teck Venture Berhad dan China Shaougang Group melibatkan pelaburan RM1.8 billion, akan membina Kompleks Keluli Bersepadu di Telok Kalong, Kemaman.

“Dengan adanya kerjasama seumpamanya ini, kita bukan saja dapat meningkatkan kepakaran rakyat tempatan dalam bidang metalurgi malah dapat melatih pekerja yang berkelayakan dalam pelbagai aspek untuk industri besi dan keluli,” katanya.