Halaman

06 July 2012

Selendang Biru Semarak Kasih platform ibu tunggal ubah nasib diri

Oleh: Aida And Rahman
Gambar oleh Amirullah Othman




Kerajaan Terengganu merintis penganjuran program Selendang Biru Semarak Kasih sebagai platform ibu tunggal di seluruh negeri mendapat input berguna dan kesedaran bagi mengubah kehidupan ke arah lebih baik serta keluar dari paras kemiskinan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata program yang menyediakan bimbingan, perundingan dan kemudahan khususnya dalam pembiayaan dan pinjaman perniagaan akan menjelajah ke seluruh parlimen juga bermatlamat untuk mengeluarkan ibu tunggal dari data e-Kasih.

“Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kerajaan Pusat bertujuan membasmi kemiskinan di mana sasaran utama adalah golongan ibu tunggal.

“Golongan ibu tunggal di Terengganu lebih 21, 800 lebih dan hampir 50 peratus daripada mereka adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat, lebih-lebih lagi mempunyai tanggungan dan anak yang masih bersekolah. Jadi berdasarkan masalah golongan itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk mengurangkan senarai ibu tunggal dalam data e-Kasih dengan melaksanakan program Selendang Biru Semarak Kasih ini,” katanya di sidang akhbar selepas merasmikan Program Selendang Biru Semarak kasih Parlimen Marang, di Dataran Alor Limbat, Marang, semalam (5 Julai).

Turut Hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Haji Alias Abdullah.
Dato’ Yahya berkata, pelbagai pendedahan dan kemudahan daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan Pusat kepada golongan ibu tunggal supaya taraf hidup mereka dapat ditingkatkan dan dapat menyara keluarga dengan lebih selesa.

“Antara kemudahan dan pendedahan seperti pinjaman modal dan juga subsidi, bagaimanapun ramai di kalangan mereka tidak menyedari kewujudan kemudahan itu.

“Terengganu merintis program ini yang tidak diadakan di mana-mana negeri lain bagi menghimpunkan golongan ibu tunggal dalam satu program yang amat bermanfaat untuk membantu mereka hidup lebih baik dan cemerlang,” katanya.