Halaman

18 July 2012

Sekolah SS juara taekwondo

Oleh; Esah Abdullah

Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu muncul juara keseluruhan apabila berjaya meraih enam emas, dua perak dan sepuluh gangsa dalam Kejohanan Taekwondo Jemputan Sekolah-sekolah Malaysia yang berlangsung SK Sultan Sulaiman 1, berakhir semalam.

SK Sultan Sulaiman 1, menjadi juara kategori sekolah rendah (lelaki) memenangi tiga emas, satu perak dan enam gangsa, manakala kategori sekolah rendah (perempuan) memenangi tiga emas, satu perak dan empat gangsa.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam kejohanan selama empat hari itu yang melibatkan kategori sekolah rendah lelaki dan perempuan serta kategori sekolah menengah lelaki dan perempuan.

Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut, berjaya menjadi juara dalam kateogri lelaki dan perempuan apabila masing-masing memenangi dua emas, tiga perak dan satu gangsa serta dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Sebanyak 200 sekolah rendah dan menengah daripada Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang yang melibatkan seramai 700 peserta menyertai kejohanan tersebut.

Acara yang dipertandingkan meliputi fin, fly, bantam, feather, ligh, welter, light middle, middle, light heavy dan heavy.

Pengerusi Kejohanan, Mohd Zarriq Mamat berkata, kejohanan yang pertama kali diadakan itu adalah dengan kerjasama Kelab Taekwondo Teguh dan Kelab Pergerakan Taekwondo Terengganu.

Katanya ia betujuan mencungkil bakat pelajar dalam sukan mempertahankan diri selain dapat memperingkatkan lagi kemahiran taekwondo ketika diusia muda sekaligus mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.