Halaman

18 July 2012

RM830,000 pengisian Ihya Ramadan

Oleh; Fauzi Mohd dan Esah Abdullah
Gambar ZULKIPLI PUTRA




Kerajaan Terengganu menyalurkan peruntukkan sebanyak RM830,000 kepada masjid dan surau di negeri ini bagi merangsang pengisian program Ihya Ramadan tahun ini.

Peruntukkan itu disediakan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti berkaitan diatur bagi mengimarahkan sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, peruntukkan tersebut diharap dapat mengukuhkan tabung masjid dan surau bagi membantu pentadbiran institusi berkenaan menyemarakkan kedatangan Ramadan.

Katanya, walaupun peruntukan diberi namun ahli jawatankuasa masjid dan surau janganlah semata-mata bergantung kepada sumbangan yang dihulurkan.


''Belanjalah duit tabung yang sememangnya ada di samping berusaha meningkatkan lagi tabungan masing-masing," katanya semasa melancarkan Program Ihya Ramadan Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini (18 Julai).

Hadir sama, Pegawai Kewangan, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan timbalannya YB Haji Muhammad Ramli Noh dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Mohd. Rozali Salleh.

Katanya, Terengganu sebenarnya negeri pertama merintis pelaksanaan penyelarasan dan pelancaran Ihya Ramadhan Peringkat Negeri setelah dimulakan sejak tahun 2006.


Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan cek melalui JHEAT kepada masjid dan surau di seluruh negeri berjumlah RM337,000.

Selain itu, sumbangan untuk tabung masjid dan surau sempena Ramadan turut disampaikan kepada setiap Pejabat Agama Daerah iaitu RM127,000 kepada Kuala Terengganu, Kemaman (RM50,000), Dungun (RM47,000), Besut (RM83,000), Hulu Terengganu (RM80,000), Marang (RM53,000) dan Setiu (RM53,000).



Yayasan Islam Terengganu (YIT) turut menyampaikan sumbangan 6,000 naskah al-Quran kepada masjid dan surau seluruh negeri serta 2,500 naskah lagi untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah di Terengganu.

Di samping itu katanya, 20 orang Imam daripada Arab Saudi termasuk 10 dari Masjidil Haram sekali lagi akan dibawa ke Terengganu bagi memimpin solat terawih sepanjang Ramadan ini.

“Maklum balas daripada orang ramai, laporan JHEAT cukup menggalakkan daripada jemaah dan pengurusan masjid kerana mereka mempunyai kualiti taranum yang baik serta memberi kelainan kehadiran bulan yang mulia ini,” ujarnya.