Halaman

13 July 2012

Rela jadi benteng negara-PM

Oleh; Esah Abdullah dan Aida Abdul Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra dan Harish Fadzillah



Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) kini diberi peranan yang lebih besar bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar jenayah di mana mereka diletakkan di tempat-tempat yang strategik.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, berkata kini Rela telah diberi tugas baru seperti memantau kompleks membeli belah, kawasan tumpuan awam dan juga kawasan yang agak gelap iaitu tempat letak kereta bagi menjamin keselamatan orang awam.


“Kita nak letakkan pasukan polis di kawasan itu tentu tidak mampu kerana jumlah anggota polis agak terbatas, tapi pasukan Rela ini begitu ramai iaitu hampir tiga juta orang di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucapa di Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pasukan Rela di Stadium Tertutup, Kpmpleks Sukan Gong Badak petang ini yang dihadiri kira-kira 20,000 anggota pasukan itu.


Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ketua Pengarah Rela Malaysia Dato’ Haji Mustafa Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pasukan Rela merupakan satu kumpulan yang sangat besar dan boleh menjadi benteng negara memerangi jenayah.


Beliau berkata, anggota Rela melalui transformasi sejajar dengan proses transformasi yang dilalui oleh negara.



“Transformasi dalam pasukan Rela bukan semakin mengucup, sebaliknya menjadikannya lebih penting dan lebih relevan dalam konteks keperluan masyarakat hari ini,” katanya.

Selain itu, katanya, keselamatan negara kita ini bertambah baik, cuma masalahnya jika berlaku sesuatu jenayah ianya dilaporkan secara meluas di dalam media, internet dan media sosial yang membuatkan semua dapat mengetahuinya dalam masa yang singkat.