Halaman

03 July 2012

Penyokong Pas diminta tolak Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dato’ Dr Hassan Ali meminta penyokong tegar Pas dan semua ahli parti itu menolak Pas, demi menyelamatkan Islam, Melayu dan institusi raja-raja yang disifatkannya menuju kehancuran angkara tindakan parti pembangkang.

Bekas Naib Presiden Pas itu yang sekian lama mengabdikan diri kepada parti tersebut merasakan beliau tertipu dengan Pas yang kini tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan kepimpinan ulama.

Beliau menjelaskan dua prinsip utama perjuangan Pas iaitu menegakkan Islam dan kepimpinan ulama, mendorongnya menyertai parti itu walaupun telah lama berkhidmat dengan kerajaan.

“Saya sendiri mempunyai banyak pilihan, tetapi memilih Pas kerana terpesona dengan perjuangan negara Islam dan kepimpinan ulama yang mereka laung-laungkan,” katanya ketika berceramah pada siri jelajah di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tumpat, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Dato’ Dr Hassan Ali yang menganggotai barisan Exco Kerajaan Selangor selepas Pakatan Rakyat menang di negeri itu, melahirkan rasa kesal dan kecewanya kerana kini Pas tidak lagi memperjuangkan prinsip berkenaan setelah bersengkokol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau menjelaakan matlamat utama Pas dan konco-konco parti itu sekarang ialah menawan Putrajaya.

Katanya, Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam apabila Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57 tahun lalu menegaskan parti itu akan menegakkan negara berkebajikan di Malaysia.

Dato’ Dr Hassan juga berkata, perjuangan Pas telah berubah setelah 70 peratus daripada barisan kepimpinannya kini dikuasai golongan sekular yang beliau sifatkan sebagai parasit.

Katanya, keadan ini menyebabkan saf kepimpinan Pas telah bertukar matlamat perjuangan dan memberi keutamaan kepada hasrat menawan Putrajaya bersama-sama dengan DAP dan PKR.