Halaman

08 July 2012

Pembangunan luar bandar untuk kesejahteraan rakyat

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.



Pembangunan yang hebat diperlukan di kawasan luar bandar supaya arus pembangunan kampung tidak ketinggalan selaras dengan matlamat Gerakan Daya Wawasan (GDW) bagi mewujudkan desa yang maju, menarik dan menguntungkan.

Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Encik Ahmad Zubir Abd. Ghani berkata, sebelum merdeka kita dijajah dan ditinggalkan terus, kampung tidak maju dan jalan raya tidak ada.

“Tetapi apabila mencapai kemerdekaan, kita bangunkan kawasan di luar bandar dengan sebaik mungkin dan belanjakan setiap sen wang untuk tujuan pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya di majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman , semalam.


Hadir sama, Setiausaha Kerajaan merangkap Pengerusi Pertandingan ADC, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu, Puan Hazelina Hashim.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah penggerak arus kemajuan kampung di kawasan luar bandar dalam abad ini dan setiap perancangan yang disediakan kerajaan tidak akan mencapai matlamat tanpa sokongan dan kerjasama daripada rakyat di peringkat akar umbi.

“Selagi tidak wujud semangat ingin memperbaiki diri serta tidak sanggup menerima perubahan selama itulah kita akan ketinggalan dari arus pembangunan negara,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha membangunkan kampung luar bandar dan ia perlu didokong sama oleh anggota masyarakat melalui konsep kerjasama, muafakat di bawah kepimpinan JKKK.

Selain itu pemimpin kampung boleh wujudkan pusat sumber, pusat komputer, kelas tuisyen, kemudahan riadah serta suburkan aktiviti pengimarahan masjid dan gotong royong bersih kampung.

Katanya, kawasan desa mempunyai pelbagai sumber semulajadi yang boleh dijadikan sumber kekayaan baru ekonomi desa sekali gus menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat.


“Melalui pendekatan sebegini kita akan dapat menzahirkan hubungan pintar dan saling melengkapi di antara kerajaan dan masyarakat desa,” katanya.

Sehubungan itu Kampung Bukit Wan, Kuala Terengganu mendapat tempat pertama dalam ADC kali ini diikuti Kampung Pasir Gajah, Kemaman (Kedua) dan Kampung Medan Jaya, Marang (ketiga).

Encik Ahmad Zubir berkata johan ADC akan mewakili negeri ke pertandingan ADC Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada September depan.