Halaman

04 July 2012

Pas ‘jilat ludah sendiri’

Sewaktu mula-mula memerintah negeri Kelantan, Pas telah mengharamkan wanita menyertai tilawah al-Quran kerana mereka mendakwa suara wanita adalah aurat dan tidak boleh didedah di khalayak ramai.

Lalu, mereka hanya membenarkan qari saja menyertai tilawah yang telah dimulakan di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Bagaimanapun, satu situasi yang sungguh pelik dan ajaib telah berlaku pada masa ini apabila Pas menggunakan wanita bukan untuk tujuan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, tetapi berkempen untuk parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Pas kini menggunakan artis dan selebriti tempatan bagi menarik minat orang ramai hadir pada ceramah mereka di negeri ini dan beberapa negeri lain.

Antara artis wanita yang dipergunakan pemimpin Pas sebagai pelaris ceramahnya ialah Aishah, Abby Abadi dan Dayangku Intan.

Pas mendakwa usaha Kerajaan Barisan Nasional mengadakan tilawah al-Quran tidak Islamik kerana mendedahkan aurat wanita di khalayak ramai.

Tetapi, apa hukumnya mereka menggunakan artis wanita sebagai tenaga ceramah mereka?
Inilah antara sikap ‘double standard’ Pas yang tidak payah dihuraikan lagi kerana mereka akan melakukan apa saja bagi kepentingan politik mereka. Tidak boleh bagi mereka jika perkara itu dilakukan oleh Umno, tetapi asal perkara itu memberi manfaat kepada mereka, kira boleh saja.

Mengulas mengenai ‘trend’ baru yang digunakan oleh parti Pas itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata ceramah-ceramah Pas kini tidak lagi menjadi tumpuan kerana ia mengetengahkan isu-isu lapuk.

“Justeru itu, Pas perlu berbuat sesuatu bagi menarik pendengar, termasuk menggunakan artis wanita supaya orang ramai hadir ceramah mereka,” katanya.

Beliau mengakui kehadiran ceramah Pas yang menggunakan artis wanita ini mampu menarik lebih ramai pendengar, tetapi itu tidak menggambarkan mereka yang hadir itu menyokong Pas.

“Ramai yang hadir pada ceramah Pas itu merupakan orang luar yang mahu melihat artis yang berucap di ceramah Pas, mereka bukan pengundi di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ceramah Pas kini lebih ke arah ‘indah khabar dari rupa’ kerana bilangan pendengarnya bertambah tetapi ia bukan tanda sokongan kepada parti itu semakin kuat.