Halaman

03 July 2012

Kerajaan sedia banyak kemudahan sukan- isteri MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan menyediakan banyak kemudahan sukan dalam usaha mendidik rakyat mengamalkan budaya hidup sihat dengan aktiviti berfaedah.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, kerajaan telah menambah peruntukan untuk membina sebuah lagi gelanggang futsal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini.

“Saya berharap pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan tidak mengabaikan penjagaan kesihatan serta menjadikan aktiviti bersukan sebagai rutin harian,” katanya di majlis penutup Kejohanan Special Olympics Negeri Terengganu 2012 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (3 Julai).

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Encik Zuhami Omar dan Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Puan Nurfarhana Lee Mohd Zuliflee.

Katanya, melalui acara sukan dapat memberi peluang anggota dan agensi terbabit mengeratkan hubungan silatulrahim dan kerja berpasukan yang lebih komited dalam acara disertai.

Kejohanan sukan khusus kepada peserta Orang Kurang Upaya (OKU) itu berlangsung Sabtu lalu (30 Jun) membabitkan 400 peserta dari Pusat Dalam Komoditi (PDK) seluruh negeri .

Terdapat lapan acara dipertandingkan antaranya ialah acara BOCCE, bola sepak, sukan berkuda, bowling serta acara olahraga seperti lontar peluru, lompat berdiri, lompat jauh, lumba lari (100m dan 200m) dan larian 4x100m.

Sementara itu, To’ Puan Seri Hajah Norliza sempat menonton perlawanan akhir bola sepak 5 sebelah antara pasukan PDK Besut melawan PDK Dungun yang berkesudahan PDK Dungun berjaya menundukkan Besut 3-0.

To’ Puan Seri Hajah Norliza kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang pada kejohanan sukan berkenaan.