Halaman

16 July 2012

Jumlah pelajar Melayu meningkat sertai Pertandingan ROBOCON 2012

Oleh: Suriati Ali

Penyertaan pelajar Melayu yang mengikuti Pertandingan ROBOCON 2012 Kebangsaan kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang agak ketara.

Ketua Seksyen Automasi Industri dan Robotik SIRIM Berhad, Susana Kamaruddin berkata, pada tahun ini, jumlah penyertaan pelajar terbabit mencecah 70 peratus daripada 427 peserta.

''Peningkatan tersebut menunjukkan bahawa bidang robotik makin diminati dan tidak lagi dimonopoli kaum lain sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam meraikan peserta pertandingan itu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tetamu kehormat yang hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Naib Presiden Sirim Berhad, Ir Dr Mohamd Jamil Sulaiman; Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Zakaria Husin dan Jabatan Penerangan Terengganu Hajah Azizah Awang.

Dalam pada itu, Susana memberitahu, pertandingan ROBOCON Kebangsaan 2012 yang berlangsung sejak 12 hingga 17 Julai ini turut memberi kelainan apabila mendapat penyertaan daripada institut latihan serta kolej kemahiran.

Pertandingan Robocon 2012 yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu 11 Julai sehingga esok (17 Julai) menyaksikan penyertaan terbanyak sejak pertandingan tahunan itu dimulai pada tahun 2002.

Turut serta Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Teknologi Petronas, Politeknik Seberang Prai, Universiti Tunku Abdul Rahman, Institut Teknikal Jepun-Malaysia, Politeknik Ungku Omar, Kolej Komuniti Segamat, Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu dan Pusat latihan Teknologi Tinggi Kulim.

Difahamkan buat pertama kalinya penganjuran pertandingan tahunan ini diadakan di luar Lembah Klang dan bandar raya ini dipilih kerana dilengkapi pelbagai kemudahan yang diperlukan.

Pertandingan kali ke-11 dianjurkan bersama kerajaan negeri dengan kerjasama Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan SIRIM Bhd., bertemakan Ke Arah Keamanan dan Kemakmuran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka merasmikan program penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu pada petang 17 Julai.

Pemenang akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong Ogos depan.