Halaman

30 July 2012

Jenazah bekas Adun selamat disemadi

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Allahyarham Tengku Zahid Tengku Musa, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Telok Pasu, petang ini.

Beliau meninggal dunia pada usia 75 tahun dan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, disembahyangkan di masjid kampung itu.



Turut menunaikan solat jenazah ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Haji Khazan Che Mat; wakil-wakil rakyat, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid; Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, ketua-ketua jabatan, veteran Umno dan penduduk kampung.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 10.15 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Jenazah diterbangkan ke Kuala Terengganu oleh pesawat tentera pagi tadi.

Allahyarham bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum 1978 dan menang setelah mengalahkan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang.