Halaman

18 July 2012

Insentif tambahan RM10,000 untuk Olahragawan Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA



Kerajaan negeri mengumumkan insentif tambahan RM10,000 kepada Olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang, Abdul Mubin Rahim, 21, sebagai penghargaan selepas kejayaan meraih anugerah istimewa itu di temasya sukan berprestij negara, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hadiah berkenaan sebagai mengiktiraf kegemilangan anak kelahiran Seberang Takir, Kuala Terengganu itu selepas mencipta kejutan dengan memecah rekod kebangsaan acara angkat berat yang dipegang Martin Guntali dari Sabah, sembilan tahun lalu.

“Sebagai menghargai kejayaan atlet terbaik kita (Abdul Mubin) kerajaan negeri memutuskan menerusi Mesyuarat Exco yang baru selesai tadi untuk menyumbang kepada Abdul Mubin sebanyak RM10,000,” kata beliau ketika berucap di Majlis Sambutan Kejayaan Atlet dan Pegawai Sukma Ke-15 Pahang, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, imbuhan tambahan kepada Abdul Mubin itu akan diserahkan bersama insentif kemenangan kepada semua atlet dalam majlis khas sebelum Hari Raya Aidil Fitri nanti.

“Kita juga bersetuju untuk mengagihkan insentif kemenangan kepada setiap atlet, masing-masing RM5,000 untuk setiap pingat emas, RM3,000 (perak) dan pingat gangsa RM2,000 dalam tempoh dua minggu hingga 10 hari sebelum menjelangnya Hari Raya (Aidil Fitri) nanti sebagaimana yang diinginkan oleh mereka (atlet),” katanya.

Katanya, pihaknya juga bersedia menimbang permohonan tanah oleh atlet yang berusia 18 tahun ke atas mengikut prosedur biasa yang bergantung kepada kekosongan lokasi tanah berkenaan.

Sempena kejayaan `luar biasa’ Terengganu dengan merangkul 62 emas melepasi sasaran awal 47 emas yang ditetapkan sebelum ini, Menteri Besar turut mengumumkan Ahad ini, 22 Julai 2012, sebagai cuti umum di Terengganu.

Menurutnya, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang di pentas sukan negara.