Halaman

12 July 2012

Hospital KTS bakal berwajah baru

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan bagunan baru Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) yang bakal berwajah baru dan dilengkapi dengan peralatan canggih, dewan bedah dan wad-wad yang lebih selesa kepada pesakit.



Bagunan hospital milik TDM Berhad itu yang akan dibangunkan dengan kos RM170 juta, menyediakan 130 katil, lima dewan bedah dan satu Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bangunan hospital baru di Batu Buruk itu dengan keluasan kira-kira 5.8 ekar turut mengandungi bangunan satu setengah tingkat tempat letak kereta yang memuatkan 281 ruang letak kereta bagi kemudahan pelawat.



Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Roslan Awang Chik, berkata bangunan KTS sedia ada di Jalan Kamarudin menghadapi masalah ruang dan mengehadkan pihak pengurusan menawarkan perkhidmatan yang lebih cekap dan bermutu kepada pesakit.



“Hospital yang ada ini hanya mempunyai 33 buah katil, satu ICU dengan dua buah katil dan dua dewan bedah.

“Dengan kapasiti yang terhad, hospital ini tidak mampu menampung bilangan pesakit yang meningkat pada setiap tahun. Ada kalanya hospital terpaksa menolak mereka yang datang untuk mendapat rawatan dan merujuk mereka ke hospital kerajaan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah hospital baru itu hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.



Dato’ Roslan berkata, pihaknya berharap apabila projek pembinaan hospital baru itu siap dalam tempoh dua tahun, rakyat negeri ini tidak perlu lagi mendapat rawatan di luar Terengganu untuk mendapatkan rawatan pakar.

“Hospital baru ini akan dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan dan peralatan serta teknologi terkini, lebih banyak klinik pakar dengan lebih ramai pakar perubatan memberi rawatan sama ada dalam bentuk pesakit luar mahu pun untuk menjalankan prosedur atau pembedahan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat melalui pembinaan hospital baru itu KTS mampu menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti setaraf dengan negara maju, reka bentuk dan pembinaannya mematuhi akreditasi ‘Joint Commision International’ (JCI) yang diamalkan oleh hospital-hospital di Amerika Utara dan Eropah.